Sedar tak sedar sudah 56 tahun negara kita mencapai kemerdekaan. Selama itu jugalah negara kita telah mengecap keamanan, keharmonian dan kemakmuran dalam pelbagai aspek sama ada ekonomi, politik dan sosial. Sebagai warganegara dan generasi baru hari ini, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengenang dan menghayati erti kemerdekaan. Penuhilah dada dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan yang dimiliki dapat dipertahankan dan dikekalkan. Tanpa ilmu pengetahuan, kemerdekaan yang baru sahaja diperoleh ini
sangat rapuh dan amatlah mudah diganggu gugat oleh anasir-anasir jahat yang sentiasa mencemburui kemakmuran negara kita.
Menghadapi alaf baru yang penuh cabaran, rakyat Malaysia perlu lebih berwaspada dengan penjajahan dalam bentuk baru. Ledakan teknologi komunikasi maklumat dan era globalisasi menuntut kita agar lebih peka dengan isu dan persekitaran yang berlaku, untuk terus mempertahankan kemrdekaan yang sedia ada.
Tema pada tahun 2013 ialah "Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku". Tema tersebut dipilih sebagai peringatan kepada rakyat akan kepentingan bersatu mempertahankan kedaulatan negara di samping mewujudkan kesedaran rasa sayang dan cinta akan negara; tanah air kita. Konsep sambutan pada tahun ini lebih menjurus kepada elemen-elemen perpaduan, patriotik, kedaulatan dan keselamatan negara.
Logo kali ini lebih ringkas dan menarik berbanding tahun lepas (2012). Pada saya reka bentuk logo pada tahun 2012 agak sarat, begitu berbeza; pendek kata 'janggal' daripada tahun-tahun sebelum ini yang kesemuanya simple.
Tuntasnya, menyelami erti kemerdekaan dengan menyusuri lembaran sejarah bangsa akan menyedarkan kita sebagai generasi hari ini bahawa perjuangan kemerdekaan ini tidak pernah terhenti. Pengorbanan generasi terdahulu seharusnya menjadi inspirasi kepada kita untuk terus berusaha dengan gigih serta menjadi pemangkin kepada bangsa yang maju dan moden seterusnya mencapai kegemilangan dalam pelbagai segi.
Renung-renungkan mutiara kata...
" Hakikatnya banyak bangsa di dunia ini telah merdeka tapi fikiran mereka masih terbelenggu oleh oleh penjara diri " - ( Dr. H.M. Tuah Iskandar al-Haj)
" Bangsa penakut tidak dapat merdeka dan tidak berhak merdeka. Ketakutan merupakan penasihat yang sangat curang untuk kemerdekaan " - ( Andre Collin )
Salam Sayang....
No comments:
Post a Comment