Sunday, 18 August 2013

PUASA SUNAT 6 DI BULAN SYAWAL

Belek-belek kalendar, hari ni dah 12 Syawal. Maksudnya sudah seminggu lebih; hampir 2 minggu kita berhari raya dan dalam tempoh itu jugalah bulan Ramadan dah berlalu tinggalkan kita. Masih teringat-ingat lagi saat bersahur, berpuasa dan berbuka. Agak 'terasa' juga kerana terbiasa menjalani rutin sepanjang bulan puasa yang banyak mendidik diri dengan sifat sabar dan ikhlas serta ketenangan jiwa.

Sementara bulan Syawal yang mulia ni masih lagi bersisa, harap-harapnya diberikan kekuatan, kesihatan tubuh badan dan diizinkan Allah swt untuk saya berpuasa sunat. Semoga dipermudahkan, kerana berpuasa sunat di bulan Syawal ni banyak dugaan dan godaannya. Kena pandai-pandai rancang. Manalah tahu ada jemputan rumah terbuka atau kenduri kahwin yang perlu dihadiri. Kalau tak pergi nanti tuan rumah kecil hati; tapi rasanya semua orang dah maklum dan faham...

Di bawah ni, saya sertakan sedikit panduan yang mungkin berguna untuk sesiapa yang berniat untuk berpuasa enam.

LAFAZ NIAT PUASA 6 : "Sahaja aku puasa sunat di bulan Syawal kerana Allah Taala" 

Saya ada baca di Blog Ustazah Azimah : http://www.ustazahazimah.amirhakimi.com , berkenaan hukum puasa 6.. Kata ustazah, dahulukan yang wajib, barulah buat yang sunat. Maksudnya, lakukan puasa ganti dahulu. Dah habis ganti barulah kita teruskan dengan puasa 6 Syawal. Selesaikan hutang dahulu..Takut nanti puasa yang kita buat jadi lagha / sia-sia. 

Yang di bawah ni saya rujuk di http://www.islam.gov.my/e-hadith/sunat-berpuasa-enam-hari-di-bulan-syawal 

Hadith: 
Daripada Abu Ayub r.a. bahawa Rasulullah SAW. bersabda, Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian mengiringinya dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal, pahalanya seperti berpuasa setahun.

Huraian Hadith: 
1. Islam menganjurkan umatnya supaya melakukan kebaikan dan kebajikan secara berterusan, walaupun sedikit.
2. Orang yang berpuasa Ramadhan diikuti dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal maka pahalanya sama dengan berpuasa setahun. Hal ini disebabkan puasa sunat satu hari bersamaan pahalanya dengan sepuluh hari. Manakala puasa Ramadhan bersamaan dengan sepuluh bulan, maka enam hari puasa sunat bersamaan dengan dua bulan, kemudian dicampurkan dengan sepuluh bulan jumlahnya menjadi setahun.
3. Seseorang yang hendak berpuasa sunat di bulan Syawal adalah lebih afdhal berturutan seperti puasa bulan Ramadhan tetapi dibolehkan berpuasa secara berselang hari selama dalam tempoh bulan Syawal itu.

* Boleh juga baca dan tambah ilmu tentang hukum gabung puasa (sunat dan qadha) di sini :  http://pusatislam.unimap.edu.my/index.php/component/content/article/54-soal-jawab/83-hukum-gabung-puasa-qadha-dan-puasa-enam-syawal-

Wallahu a'lam..


No comments:

Post a Comment