Tuesday 30 July 2013

SINOPSIS NOVEL 6:20

Novel 6:20 mengisahkan pengalaman pelik dan misteri yang dilalui oleh Sukma setiap pagi tepat jam 6:20. Kisah ini berlaku dalam tempoh seminggu, bermula 6:20 pagi Isnin sehinggalah hari Ahad.

Setiap pagi tepat jam 6:20, akan muncul tetamu-tetamu misteri di hadapan pintu pagar rumah keluarga Sukma di kawasan kejiranan banglo Taman Megah. Pagi Isnin, seorang wanita tua memakai baju kurung lusuh dan menjunjung bakul rotan berisi buah manggis, duduk bersila di hadapan pintu pagar rumahnya. Keesokkanya pula, datang seorang lelaki dalam lingkungan 30-an, berkulit gelap, kurus cengkung dan tidak terurus. Pagi Rabu, muncul 2 ekor anak kucing jenis Burman dan pada pagi Khamis kelihatan seorang budak lelaki berusia lingkungan 5 tahun, berpakaian baju Melayu putih serta tidak bersepatu. Kemunculan tetamu-tetamu misteri tersebut menimbulkan pelbagai persoalan kepada Sukma kerana mereka tidak mahu berbicara dan enggan diajak masuk ke rumah.

 Peristiwa yang berlaku mula berlegar dalam fikiran Sukma dan meresahkan hatinya. Sikap ibu Sukma yang dahulunya merupakan seorang yang berkarisma dan berkerjaya tetapi setelah dua tahun berhenti kerja kerana masalah kesihatan berubah menjadi seorang yang mudah risau, suka memikirkan hal-hal negatif dan begitu bimbangkan keselamatan suami dan anak tunggalnya itu.  Ayah Sukma pula ialah wakil rakyat yang agak baru di daerah mereka tinggal. Beliau begitu prihatin dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap tugas sehingga tidak menyedari wujudnya permasalahan serius di depan matanya sendiri.

 Sukma masih menuntut di universiti berdekatan dengan daerah tempat tinggalnya dan dia mengambil jurusan Sains Politik. Sukma merupakan mahasiswa cemerlang di universiti tersebut serta berkawan baik dengan Teja, Alvin dan Jerry yang merupakan teman sekuliahnya. Sukma dan rakan-rakannya mempunyai teman baru bernama Rafiq Mustaqeem yang berdarah kacukan Melayu, Turki dan Inggeris yang baru pulang dari Amerika Syarikat serta menyambung pengajian dalam bidang yang sama dengan mereka.

Sikap dan perubahan Jerry merisaukan Sukma. Melalui Jerry, Sukma mendapat tahu tentang wujudnya sebuah kelab muzik ekstrem yang dikenali dengan nama WX2. Kelab itu dianggotai oleh sekumpulan remaja yang memiliki fahaman baru dan mereka selalu berkumpul bersama-sama dalam 'ruang sepi' . Sukma bimbang apabila kawan -kawannya mendapat tahu bahawa Jerry mengikuti kumpulan underground tersebut. Sikap ngin tahu dan rasa prihatin terhadap gejala sosial remaja sepertinya membuatkan Sukma berusaha mencari jawapan tentang Kelab WX2 dan juga pencariannya tentang tetamu misteri jam 6.20 pagi.

Sukma juga  perlu berhadapan dengan rakannya yang dikenali sejak kecil dan merupakan kenalan lama ayahnya, iaitu Iskandar yang turut menuntut di universiti yang sama. Kemewahan Iskandar membuatkan dia bersikap angkuh dan mudah menyinggung perasaan orang lain termasuk Sukma, namun dalam diam Iskandar begitu mengagumi Sukma dan menyukai gadis itu. Iskandar juga ahli kumpulan 'ruang sepi' dan apabila Sukma mendapat tahu, dia mengecam serta mendesak Iskandar supaya membongkar aktiviti sebenar kumpulan 'ruang sepi' itu, namun Iskandar begitu mempertahankan ruang itu dan menafikan segala tanggapan songsang  Sukma.

Dalam masa yang sama, misteri orang yang datang di hadapan rumahnya pada pukul 6.20 pagi terbongkar satu persatu. Bagai menarik lapisan halus sebiji bawang, begitulah satu persatu perkaitan tetamu misteri dengan diri Sukma dan keluarganya serta perkaitan dengan Kelab WX2 terbongkar. Segala rahsia  berantaian di daerah tersebut kembali tertumpu kepada Sukma dan bagaikan Sukma sahaja yang mampu meleraikan dan menyelesaikan segala kekusutan, kepincangan di dalam daerah yang luarannya tampak sempurna dan permai belaka. 

Sukma yang belajar memahami sejarah keluarganya juga memahami kenyataan masalah semasa yang sedang merebak dalam kalangan remaja dan belia hari ini. Apabila rahsia  dibongkar oleh tetamu pada pukul 6.20 pagi, Sukma akan lebih mengenali latar sejarah ibunya yang juga tidak diketahui oleh ayah Sukma sendiri. Ibunya begitu berahsia tanpa diketahui sebab beliau bersikap demikian.

Sukma berani mencabar Iskandar dan Jerry yang sudah berada dalam kumpulan 'ruang sepi'.  Alasan mencari kebebasan dan hak memilih sebagai remaja, dipatahkan dengan kebijaksanaan ilmu yang dimiliki oleh Sukma. Sukma akhirnya meyakinkan Jerry dan Iskandar bahawa pilihan mereka itu adalah salah dan kumpulan tersebut boleh memesongkan pegangan diri golongan generasi muda. Kumpulan itu perlu dihapuskan sebelum merebak dalam kalangan generasi muda. 

Apabila Sukma memperoleh satu persatu jawapan yang dicari, wujud pula kenyataan menyakitkan yang perlu diterima oleh Sukma. Dia mendapat kepastian tentang perkaitan ibunya sebagai petualang dan pemimpin 'ruang sepi' di daerah mereka itu. Semuanya berpunca daripada pengaruh budaya dan pemikiran Barat yang boleh menyesatkan cara hidp remaja dan lebih berbahaya boleh menyesatkan akidah mereka.

Sukma kecewa akan sikap ibunya. Apabila ayahnya mendapat tahu akan hal tersebut, beliau juga tidak menyangka bahawa isterinya mempunyai kuasa dan pengaruh yang begitu besar untuk melakukan rusuhan yang dicetuskan dalam kalangan generasi muda. Dengan bantuan jiran Sukma yang juga seorang pegawai polis, iaitu Ros dan bantuan daripada Iskandar yang telah sedar akan kesilapannya, akhirnya pihak berkuasa berjaya mematahkan agenda kumpulan tersebut yang didapati menyalahgunakan dadah dan bahan kimia yang mampu mempengaruhi fikiran anak muda dan mengawal tindakan mereka supaya akur kepada arahan pemimpin walaupun boleh meragut nyawa mereka sendiri.

Pada bab terakhir novel ini, barulah kita tahu bahawa semua ini ialah cerita Sukma semasa membuat pengakuan sebagai saksi di hadapan hakim , peguam, dan para juri . Ketika itu,Sukma bercakap bagi pihak ibunya yang sedang terlantar koma di hospital akibat terkena tembakan semasa operasi pihak berkuasa berhadapan dengan kumpulan anak muda yang mahu merusuh.

Sukma bersyukur kerana segala sangkaan terhadap ibunya selama ini adalah salah sama sekali, malah perasaan sedih dan rasa bersalah begitu menebal dalam dirinya. Beliau sanggup berdepan dengan pelbagai tohmahan demi memastikan tanggungjawab dan tugasnya terlaksana. Sukma bangga akan ibunya dan berharap ibunya akan sedar dan sembuh kembali.
=================================================================================
# SEMOGA INFO YANG DIKONGSIKAN INI ( juga saya dapatkan di internet cuma lupa dari sumber/laman/blog mana..apepun terima kasih) BERGUNA UNTUK PARA PELAJAR TERUTAMANYA TINGKATAN TIGA..YANG PALING PENTING, MESTI HABISKAN NOVEL TERSEBUT SEBELUM MERUJUK KEPADA SINOPSIS. 

No comments:

Post a Comment